Wednesday 2 March 2011

CTU151-Masjid Tengku Puan Habsah

CTU 151

TAJUK:
Sejarah Dan Kegiatan Masjid Tengku Puan Habsah,Sungai Pasir,Kedah Darulaman.
DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin.
Pensyarah CTU151
DISEDIAKAN OLEH:
Siti Syazni Binti Tajudin
No. Matrik :2010293822
Kumpulan :ASD2Cn
PROGRAM:
Diploma Sains
TARIKH HANTAR:
3 March 2011



 ISI KANDUNGAN
*      Isi kandungan
*      Abstrak
*      Pendahuluan
*      Pengertian Masjid
*      Sejarah penubuhan Masjid Tengku Puan Habsah.
*      Peranan Masjid
*      Masalah
*      Penyelesaian masalah
*      Penutup
*      Bibliografi


ABSTRAK

Sebagai sebuah negeri Islam, maka masjid adalah simbol agama yang dipandang mulai dan suci, selain daripada menjadikan tempat untuk beramal ibadat. Masjid  adalah lambing syiar Islam dan juga merupakan pusat keagamaan yang menghubungkan antara hamba dan Penciptanya. Masjid juga merupakan rumah ibadat bagi umat islam dalam mengerjakan solat serta majlis keagamaan yang lain. Masjid merupakan suatu binaan yang dikhususkan kepada orang Islam bagi melaksanakan ibadah terutamanya.Binaan ini sangatlah istimewa kerana umat Islam berkewajipan untuk menghadirkan diri ke masjid sekurangnya sekali seminggu untuk menunaikan solat jumaat. Masjid terawal adalah masjid yang telah dibina pada zaman Rasullullah s.a.w. dimana baginda telah membina Masjid Quba. Terdapat tiga masjid utama yang dimuliakan umat Islam, yang pertama ialah Masjidil Haram di Makkah yang juga merupakan tempat Kaa’bah iaitu kiblat solat umat Islam.Masjid Nabawi yang terletak di Madinah merupakan masjid utama yang dimuliakan dan yang ketiganya pula ialah Masjid Aqsa di Al-Quds(Jerusalem),Palestin. Di Malaysia, pembahagian tempat ibadah dibahagikan kepada beberapa pecahan iaitu Masjid Negara,Masjid Negeri,Masjid Daerah,Masjid Qaryah dan Surau.Sejarah kewujudan masjid juga dapat di lihat sebagai sebuah tempat penting di Zaman Melayu Melaka,dimana masjid dan surau memainkan peranan penting sebagai pusat pembelajaran dan juga penyebaran agama Islam.Konsep terawal masjid adalah tempat untuk beribadah kepada Allah s.w.t.Dari masa ke semasa ia erubah kepada banyak fungsi dan peranan dalam menerangkan fungsi sebenar sesebuah masjid dalam Islam seta kepada umat Islam seluruh dunia.Masjid juga memainkan peranan yang penting didalam sesebuah kawasan iaitu penting bagi menjalankan ibadah dan juga pengabdian sebagai seorang hamba terhadap Penciptanya.

PENDAHULUAN

Assalammualaikum w.b.t.
Syukur Alhamdulillah dan segala pujian kepada Allah s.w.t. Tiada kekuatan selain dari-Nya dan setiap yang terjadi adalah atas kehendak-Nya, Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah.Dengan rahmat-Nya ,selesai juga akhinya assignment bagi subjek CTU151 ini dalam jangka waktu yang telah ditetapkan.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Utz. Abd Aziz Bin Harjin selaku pensyarah bagi subjek ini, yang telah memberikan banyak panduan serta bimbingan bagi menyiapkan assignment ini sepanjang tempoh yang diberikan.
Assignment ini dibuat bertujuan untuk mengkaji dan mengetahui sejarah penubuhan serta kegiatan yang dijalankan oleh Masjid Tengku Puan Habsah,Sungai Petani,Kedah. Antara topik yang bakal diulas dan dikaji dalam esei ini adalah mengenai latar belakang masjid,pentadbiran masjid,peranan masjid ini kepada kariah mukim Sungai Pasir secara amnya serta masalah yang dihadapi dan penyelesaiannya.
Saya sangat berharap agar esei ini dapat memberi dan menambahkan pengetahuan kepada semua mengenai Masjid Tengku Puan Habsah dan juga berharap esei ini mencapai tahap yang dikehendaki oleh ustaz.Saya telah memperolehi banyak pengalaman semasa menyiapkan assignment mengenai masjid ini.Kesimpulannya, masjid merupakan pembentuk kepada setiap kerohanian seseorang manusia itu.

PENGERTIAN MASJID
Dari segi istilah masjid berasal daripada perkataan Arab “masjid”  atau”masjad”. Dari segi bahasa ,masjid membawa makna tempat sujud. Berasaskan pengertian bahasa perkataan tersebut digunakan sebagai nama bagi tempat kita melakukan solat. Hal ini kerana antara gerakan utama yang terdapat dalam solat ialah sujud yang berasal daripada perkataan Arab ‘sa-ja-da’.Sujud bererti patuh dalam kategorinya yang tinggi hingga sampai kepada tahap pengabdian. Oleh disebabkan itulah,solat disebut sebagai ibadah, iaitu suatu cara yang tertentu bagi melambangkan kepatuhan dan pengabdian sebagai seorang muslim kepada Allah. Sebagai kesimpulannya,masjid itu memberi erti tempat umat Islam melakukan aktiviti bagi melambangkan kepatuhan dan pengabdian kepada Allah. Dalam erti kata lain,masjid adalah lambang kepada kepatuhan dan pengabdian umat Islam kepada Allah s.w.t. Dari segi syarak pula,masjid adalah tempat yang dipersiapkan untuk digunakan solat lima waktu secara berjemaah oleh seluruh umat Islam. Akan tetapi,kadang-kadang masjid mempunyai erti yang lebih luas dari itu. Ini kerana,tempat yang dijadikan oleh seseorang di rumahnya untuk melaksanakan solat  sunat atau wajib kerana dia tidak mampu untuk bersolat di masjid,yang orang-orang mendirikan solat jemaah di dalamnya, dinamakan masjid pula. Di antara dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan olah Bukhari:323 dan selainnya dari Jabir Bin Abdillah, Rasullullah s.a.w bersabda;

“Aku diberi lima hal yang tidak diberikan kepada seorang pun sebelumku:aku dimenangkan dengan perasaan takut yang menimpa musuhku dengan jarak sebulan perjalanan, bumi dijadikan bagiku sebagai masjid dan suci,siapa pun dari umatku yang menjumpai waktu solat maka solatlah.....”

Satu nama lain bagi masjid ialah Baitullah. Dari segi bahasa ia bererti rumah Allah. Rumah Allah yang paling utama ialah Baitullah al-Haram iaitu Kaabah di Makkah al-Mukarramah. Sebab kenapa digelar Baitullah al-Haram kerana diharamkan berperang di dalam masjid. Baitullah juga menjadi kiblat umat Islam, iaitu arah menghadapkan muka dan dada ketika mengerjakan solat.  Bagaimanapun penggunaan istilah ini tidak secara hakiki. Hal ini kerana Allah tidak memerlukan , malah tidak boleh dikaitkan dengan rumah. Dalam Islam,ungkapan Allah dalam konteks seperti ini biasa dimaksudkan dengan masyarakat. Jadi yang dimaksudkan dengan ‘Rumah Allah’ atau ‘Baitullah’ itu ialah ‘Rumah Masyarakat’, atau dalam istilah yang lebih semasa ialah ‘Pusat Komuniti”.

SEJARAH PENUBUHAN
Masjid  Tengku Puan Habsah telah dibina pada tahun 1975 lagi. Pada waktu itu, masjid ini hanya dikenali sebagai Masjid Padang Temusu sahaja. Pada awal tahun 90an barulah masjid ini diberi nama Masjid Tengku Puan Habsah. Pada awalnya masjid ini dibina atas tanah rizab. Namun pada pertengahan tahun 2008, masjid ini telah diruntuhkan  dan dibina semula di atas tapak yang sama berserta tambahan tapak di kawasan bersebelahan tapak lama. Tapak tambahan berharga RM 500000. Jumlah keseluruhan harga untuk menaiktaraf masjid ini tanpa mengira untuk harta tapak membabitkan kos berjumlah RM 2.755 juta. Proses menaik taraf ini dijalankan kerana masjid lama tidak dapat menampung jumlah kariah di kawasan mukim Sungai Pasir ini lagi. Masjid yang baru ini boleh menampung kira-kira 2000 orang dalam sesuatu masa . Antara kariah mukim Sungai Pasir yang menggunakan masjid ini terdiri daripada penduduk  Kg Padang Temusu, Kg Tengah, Kg Padang, Taman Permai,Taman Desa Meranti , Taman Pasir Emas dan beberapa kampung dan taman yang lain. Selain itu,untuk pengetahuan semua,pada saat ini masjid baru ini masih belum dirasmikan lagi oleh Sultan Kedah. Masjid ini hanya mula digunakan melalui majlis solat Jumaat pertama  pada tanggal 2 September 2009 yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah iaitu Datuk  Hj Uzir Bin Hj Baharom. Untuk makluman, masjid ini mungkin akan dirasmikan oleh Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Halim dalam tahun ini juga, tapi tidak dapat dipastikan tarikhnya lagi samaada sebelum atau selepas Sultan Kedah naik takhta sebagai Agung pada bulan 6 tahun 2011.
Sejak mula ditubuhkan pada tahun 1975, masjid ini telah mempunyai 4 orang yang memegang jawatan imam. Imam masjid ini yang pertama ialah Haji Hussin Bin Wan Hanafi. Seterusnya pula ialah Haji Wahab Bin Saad.Imam yang ketiga bagi masjid ini ialah Haji Mahadir Bin Hussien dan yang keempat dan masih lagi memegang jawatan imam bagi masjid ini ialah Haji Wan Abdul Rahman Bin Wan Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Ustaz Nawan. Ustaz Nawan telah memegang jawatan imam sejak tahun 1989 hinggalah sekarang iaitu sudah 22 tahun. Sekarang beliau berumur 80 tahun.
Ahli jawatankuasa masjid  ini adalah seramai 7 orang. Disebabkan masjid ini baru sahaja selesai proses naiktarafnya,jadi,5 orang dari ahli jawatankuasa merupakan jawatankuasa pembinaan. Buat masa sekarang terdapat cuma 2 orang sahaja bagi ajk masjid ini iaitu imam,Haji Wan Abdul Rahman Bin Wan Abdul Kadir dan bilal,Haji Lokman Bin Haji Mat. Seperti  yang dimaklumkan oleh Ustaz Nawan, terdapat beberapa kekosongan untuk ajk masjid dan buat masa sekarang nama-nama calon sudah di hantar dan hanya tunggu tauliah. Kekosongan jawatan ini adalah disebabkan oleh kematian  dan juga perletakan jawatan.

PERANAN MASJID
Membangunkan masjid turut termasuk dalam perintah agama.Rasullulah s.a.w. menganjurkan umatnya untuk membangunkan masjid dimana saja mereka berada. Sebagaimana pengakuan para sahabatnya.

Rasullullah s.a.w. telah menyuruh kami membangunkan masjid di tempat tinggal kami dan supaya kami menjaga kebersihannya.”(Hadis Riwayat Ahmad Dan Tarmidzi)

Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa membangunkan masjid itu bukan sekadar memelihara dan melestarikan warisan,bahkan merupakan perintah, baik dari Allah mahupun dari Rasullullah s.a.w. Firman Allah:

Yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut kepada sesiapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”(Surah at-Taubah:18)

Pada zaman Rasullullah s.a.w. masjid memainkan peranan sebagi tempat untuk berkumpul,berbincang dan merancang strategi dan tidak terbatas hanya di bidang dakwah bahkan perdagangan ,perundangan ,penyebaran ilmu dan pelbagai lagi. Selain itu, Baginda turut menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, pusat kebajikan ,gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia. Oleh yang demikian peranan masjid ketika itu amat besar dan sangat dominan.
Peranan Masjid Tengku Puan Habsah ialah sebagai pusat beribadat,iaitu sebagai tempat umat Islam bersembahyang jemaah dan solat jumaat,solat terawih serta turut diadakan kelas-kelas fardhu’ain, ceramah dan syarahan agama terutama sempena menyambut perayaan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid ar-Rasul, Hijrah, Isra’ dan Mikraj dan lain-lain lagi. Selain itu, masjid ini juga merupakan antara masjid yang disinggah oleh musafir kerana kedudukan masjid ini yang berada  bersebelahan dengan laluan utama. Masjid ini juga mengadakan kuliah subuh pada setiap Jumaat iaitu selepas solat subuh sehingga pukul 9 pg. Bagi kegiatan pelajaran agama pula diadakan setiap hari dan juga sebulan sekali oleh ustaz jemputan luar. Untuk pelajaran agama harian bagi kaum lelaki akan diuruskan secara bergilir-gilir oleh Haji Mahmud Bin Ismail dan Haji Muhd Shuib Bin Haji Hashim. Bagi kaum muslimah pula akan diuruskan oleh Ustazah Mariam. Manakala bagi pelajaran agama sebulan sekali pula akan disampaikan oleh Datuk Haji Samsuri Bin Haji Ahmad. Hal ini bagi melaksanakan salah satu peranan masjid iaitu untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertaqwa kepada Allah s.w.t dan Rasullullah s.a.w. serta melahirkan insan yang berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah. Selain itu masjid juga berperanan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta mengawal penyelewengan aqidah, khurafat dan fikiran yang menjejaskan kesucian Islam. Inilah tujuan mengapa ceramah-ceramah agama di lakukan, di perkarangan Masjid Tengku Puan Habsah. Masjid juga berperanan untuk menyalurkan bentuk-bentuk sumbangan seperti derma ,zakat dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang berfaedah serta menjaga kepentingan dan perpaduan ummah. Peranan ini dapat dilihat apabila masjid ini memberi sumbangan kepada anggota masyarakat yang menghadapi masalah seperti baru-baru ini menyalurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang juga merupakan penduduk mukim Sungai Pasir. Selain itu, pada setiap tahun pada bulan Ramadhan pihak masjid akan mengagihkan bubur lambuk di perkarangan masjid pada anggota  masyarakat pada setiap petang sebelum masuknya waktu berbuka puasa.

MASALAH YANG DIHADAPI
Semua organisasi atau pengurusan di bumi Allah ini semuanya mempunyai masalah tidak kiralah besar atau kecil. Masjid juga tidak terkecuali kerana setiap masalah yang dihadapi adalah salahsatu cara untuk Allah menguji umat-Nya. Bagi Masjid Tengku Puan Habsah masalah yang dihadapi tidaklah melibatkan dari segi kewangan kerana pengurusan bijak menguruskannya. Masalah yang dihadapi adalah dari segi ahli jawatankuasa masjid. Hal ini dapat dilihat apabila hanya terdapat 2 orang ajk sahaja sekarang ini. Tidak ada calon yang menawarkan diri yang berkelayakan untuk memegang tampuk pengurusan masjid. Lebih memburukkan keadaan adalah apabila imam sekarang memaklumkan bahawasanya beliau ingin meletak jawatan selepas memegang jawatan itu selama 22 tahun. Ini kerana masalah kesihatan yang melanda beliau yang memaksa beliau mengambil keputusan itu kerana tiada lagi daya untuk memimpin dan juga ingin memberi peluang kepada yang lain. Walaubagaimanapun ,hal ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini. Selain itu, masalah yang dihadapi ialah kurangnya generasi muda dari kawasan  ini yang menceburkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang di anjurkan masjid. Selain itu antara masalah yang dihadapi adalah kesesakan jalan yang berlaku pada setiap Jumaat selepas solat Jumaat. Ini disebabkan masjid ini berada disebelah jalan utama. Sehinggakan ada berlakunya kemalangan di depan masjid pada setiap minggu. Ini juga disebabkan terlalu banyak kenderaan yang diletakkan di tepi jalan yang memburukkan lagi keadaan.

PENYELESAIAN KEPADA MASALAH YANG DIHADAPI
Bagi masalah kekurangan ajk masjid, hal ini telah di uruskan oleh imam iaitu dengan menghantar nama-nama calon yang dipilih melalui persetujuan bersama dengan bilal dan penghulu mukim Sungai Pasir serta kelayakan  calon-calon tersebut  dan hanya menunggu tauliah. Bagi masalah yang melibatkan imam pula mungkin tidak akan berlaku buat sementara waktu ini kerana masih dalam proses pertimbangan. Seterusnya bagi masalah kekurangan generasi muda mengambil bahagian dengan aktiviti masjid pula, telah disediakan mekanisma untuk mengajak generasi muda untuk mengimarahkan masjid seperti menyediakan gelanggang takraw di perkarangan luar masjid serta pondok-pondok bacaan.
Masjid Tengku Puan Habsah, Kg Padang Temusu,Sungai Petani,Kedah


~tempat wudhu~

pemandangan dari dalam masjid
                  
mimbar 

tingkat atas

gelanggang takraw di perkarangan masjid

PENUTUP
Kesimpulannya , masjid merupakan pembentuk kepada setiap kerohanian seseorang manusia itu.banyak hikmah dan pahala yang telah disediakan oleh Allah dengan menunaikan sembahyang di masjid . Antara contoh kepentingan masjid adalah dalam menunaikan solat Jumaat yang diwajibkan kepada kaum lelaki untuk menunaikannya pada setiap hari Jumaat di masjid dan akan ada hukumannya jika meninggal solat Jumaat sekiranya meninggalkan dengan sengaja atau meninggalkan solat Jumaat melebihi tiga kali.
Sebenarnya kejayaan sesebuah masjid itu sangat bergantung kepada sejauh manakah peranan dan fungsi yang dijalankan olehnya, lebih-lebih lagi setakat manakah sesebuah masjid itu dapat menarik masyarakat Islam disekelilingnya untuk beribadat dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan dan kebajikan masyarakat.
Sesungguhnya agama Islam itu mudah dan senang untuk dipraktikkan dalam diri setiap umat Islam.

BIBLIOGRAFI
Al-Quran al-Karim
Haji Wan Abdul Rahman Bin Wan Abdul Kadir
http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid
http://www.angelfire.com/mt/muzium/masjid.htm